JKKN Dokumentasi Seni Warisan Tanpa Pewaris
MELAKA, 1 Okt - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sedang giat mengerakkan usaha mendokumentasi seni warisan dan budaya yang kian pupus akibat kekurangan atau tiadanya pewaris meneruskan legasi warisan itu.
Penolong Pengarah Cawangan Pendidikan dan Pembangunan JKKN Nur Azura Baharudin berkata projek berkenaan dilaksanakan di 14 negeri seluruh negara sejak April lepas sehingga bulan ini bagi menghasilkan bahan terbitan dan rujukan sahih untuk warisan serta tatapan generasi akan datang.
Beliau berkata penyelidikkan setiap negeri melibatkan warisan berbeza seperti Kedah makanan tradisional iaitu Kuih Bunga Pudak; Negeri Sembilan melibatkan Puisi Bersandoi; Kelantan (Gendang Kecapi Buluh); Perlis (muzik Benduan) dan kini JKKN sedang mendokumentasikan Puisi Rejang di Melaka.
"JKKN negeri akan membuat satu projek penyelidikan dan dokumentasi berdasarkan lima kategori iaitu adat resam, makanan tradisional, permainan tradisional, bahasa dan seni persembahan.
"Kebanyakkan warisan budaya berkenaan tidak lagi diwarisi anak-anak atau komuniti mahu pun satu-satunya pengamal dan penggiatnya semakin lanjut usia ada di kalangan mereka yang berumur 80-an menyebabkan ia semakin hilang dan dilupakan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Nur Azura berkata sebelum ini usaha berkenaan tidak dilakukan secara menyeluruh kerana kekangan bajet namun tahun ini projek itu diperkasakan supaya terbitan dalam bentuk penulisan tepat dan rakaman daripada sumber asal dapat dihasilkan bagi rujukan masa depan.
Katanya projek dokumentasi warisan seni dan budaya itu akan dibentang dan dikumpulkan seterusnya diedarkan di universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta, sekolah dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
"Budaya dan warisan bangsa adalah sesuatu yang signifikan dan khazanah berharga merangkumi aspek amalan, tradisi dan peninggalan zaman berzaman yang mempunyai nilai tinggi peninggalan nenek moyang.
"Usaha merekodkan budaya bangsa ini termasuk dokumen dan peninggalan bertulis supaya ia dapat disimpan dan dipelihara dengan kaedah betul kerana ia adalah sesuatu yang amat berharga," katanya.